Panduan ‘Fundraising’ Startup: Bahagian #3 – Pelabur: Siapa Mereka dan Apa Mereka Mahu?

Salah satu objektif utama pelabur apabila membuat pelaburan adalah untuk menjana pulangan (yang lumayan).

Namun begitu, untuk meyakinkan pelabur untuk memberi tuan/puan wang bukan satu perkara yang mudah.

Ye lah, diorang dah bertahun kumpul harta – takkan nak bagi duit secara sambil lewa kan. Tentunya mereka hanya akan pilih pelaburan yang menguntungkan dan membolehkan mereka capai objektif dan KPI.

Sedikit amaran – proses mencari dana atau ‘fundraising’ memakan masa, melibatkan ramai pihak dan boleh menyebabkan kita hilang tumpuan daripada operasi syarikat.

Jadi tepuk dada tanya iman dahulu – adakah tuan/puan bersedia tidur 3-4 jam sehari? Suami/isteri bising-bising sebab tak ada masa untuk diluangkan? Otak berkecai sebab baca dokumen 70 muka surat?

Sedia dengan semua benda di atas? OK teruskan membaca!

Dalam artikel ini, saya akan cuba kupaskan ‘misteri’ di sebalik insan yang bernama ‘Pelabur’ ini: Siapa mereka? Apa mereka mahu?

Bagi yang belum baca Bahagian #1 dan Bahagian #2 boleh terus klik pautan di bawah:

1. Bahagian #1 – Pengenalan dan Asas ‘Fundraising’
2. Bahagian #2 – Kira-Kira ‘Valuation’ Syarikat 

Bahagian #3 – Pelabur: Siapa Mereka Dan Apa Mereka Mahu?

Sebelum saya melangkah ke alam bisnes, saya faham pelaburan ini setakat Pasaran Saham (’Stock Market’), Forex, Commodities dan instrumen se-spesies dengannya sahaja.

Mata saya terbuka luas apabila diberi pendedahan kepada alam pelaburan syarikat kecil dan startup.

‘Game’nya sangat-sangat berbeza.

Mari kita lihat setiap satu dengan lebih terperinci:

 

Pelabur ‘Angel’ / ‘Orang-Orang Kaya (OOK)’

Angel

Antara pelabur ‘angel’ & OOK yang terkenal: Chua Ma Yu, Swee Yong Tan

Pengenalan

Pelabur ‘angel’ (entahlah terjemahan Melayunya apa, Pelabur Malaikat 👼 kah?) adalah seorang individu yang menggunakan harta dan kekayaan sendiri untuk melabur dalam syarikat kecil dan startup.

Mereka dipanggil ‘angel’ kerana mereka dilihat sebagai satu “nikmat yang datang dari langit” – untuk melaburkan duit kepada satu syarikat yang ‘unproven’ dan berisiko tinggi.

Mazhab

Mereka mungkin mempunyai pemahaman Mazhab Tradisional serta Mazhab Laju. Tapi pengalaman saya mereka lebih cenderung kepada Mazhab Tradisional, terutamanya ‘angel’ dan OOK yang tidak terdedah kepada pelaburan ‘startup’.

Saiz Pelaburan

Memandangkan mereka menggunakan duit sendiri, saiz pelaburan mereka lebih kecil – dalam lingkungan RM50,000 ke RM500,000.

Peringkat Pelaburan

Daripada segi peringkat pelaburan – mereka lebih fokus kepada syarikat peringkat idea dan fasa awal (pra-Series A).

Faktor Pelaburan Utama

Pelabur ‘angel’ dan OOK juga mengambil kira faktor potensi, nombor-nombor, trend pasaran dan lain-lain untuk membuat keputusan pelaburan. Namun begitu, pendapat saya, faktor utama mereka melabur adalah Pengasas.

Pengasas adalah pengemudi syarikat. Mereka mahu mencari pengasas yang dapat melipatkan ganda wang mereka. Mereka perlu PERCAYA bahawa Pengasas tersebut dapat melakukan sedemikian.

Faktor-faktor 3P – Pengalaman, Pendidikan dan Perwatakan memainkan peranan penting untuk mencuit hati pelabur ‘angel’ dan OOK.

Apa Mereka Mahu?

Dividen dan Keuntungan Modal (Capital Gain).

Peratus Saham Yang Diminta

Daripada peratusan saham yang diminta, ianya agak subjektif dan bergantung kepada tekak pelabur tersebut. Pernah saya dengar 30%, pernah juga saya dengar 10%.

Cadangan saya: jual kepentingan kurang daripada 30%.

‘Accelerator’ & ‘Incubator’

Accelerator

Antara program ‘Accelerator’ dan ‘Incubator’ yang terkenal: WatchTower & Friends, 1337 Startups, Cyberview

Pengenalan

‘Accelerator’ & ‘Incubator’ adalah program-program yang dicipta untuk membantu syarikat fasa awal yang berpotensi tinggi dengan ilmu, kenalan dan dana.

Beza ‘Accelerator’ & ‘Incubator’? ‘Accelerator’ mempunyai satu elemen yang penting yang tiada dalam ‘Incubator’ iaitu pementoran.

Peserta program ‘Accelerator’ bukan sahaja diberi ilmu dan kenalan, malah dibimbing step-by-step tentang hala tuju bisnes dan juga strategi.

Atas faktor di atas saya secara peribadi menyarankan usahawan baru untuk menyertai program ‘Accelerator’ untuk menerima bimbingan dalam proses validasi idea.

Sumber Kewangan & Mazhab

Berbeza dengan pelabur ‘angel’ dan OOK – kebiasaanya pengendali program ‘Accelerator’ tidak menggunakan wang sendiri untuk melabur dan mereka lebih cenderung kepada pemamahan Mazhab Laju.

Selalunya mereka akan membuat ‘joint-venture’ dengan pihak korporat atau ‘venture capital’ untuk melabur bersama-sama.

Boleh juga mereka membuat ‘fundraising’ (seperti startup juga) untuk mengumpul modal. Sebagai contoh, Nadhir Accelerator Sdn Bhd mengumpul modal RM10 juta daripada Sega, Nintendo dan Sony dan melaburkannya dalam syarikat startup yang membuat teknologi-teknologi gaming baru.

Saiz Pelaburan

Kebiasaanya mereka akan melabur dalam lingkungan RM50,000 ke RM100,000 bagi setiap startup. Pendekatan mereka boleh ditermakan sebagai ‘spray and pray’ ataupun ‘pelaburan pukul rata’.

Harapan mereka – labur dalam 100 syarikat – 10 akan berjaya sampai ke tahap ‘unicorn’ dan dapat ‘cover’ kerugian yang mereka alami untuk 90 syarikat yang lain.

Peringkat Pelaburan

Lebih cenderung kepada syarikat-syarikat awal (fasa idea dan fasa komersil) berpontesi tinggi.

Faktor Pelaburan Utama

Sama seperti Pelabur ‘Angel’, mereka lebih cenderung memilih pengasas yang berwibawa dan mempunyai keupayaan untuk membawa syarikat ke tahap yang lebih tinggi.

Apa Mereka Mahu?

Keuntungan Modal (Capital Gain).

Peratus Saham Yang Diminta

Daripada segi peratusan saham pula mereka selalunya tidak ambil lebih daripada 10% kepentingan syarikat.

‘Venture Capital’

Venture Capital

Antara Venture Capital yang terkenal: MAVCAP, KK Fund, SPH Ventures

Pengenalan

Venture Capital (VC), atau syarikat modal teroka, adalah sebuah institusi yang sangat agresif dan mempunyai toleran kepada risiko yang tinggi.

Mereka mempunyai dana yang sangat besar dan mampu untuk melabur berjuta/berbillion dalam syarikat berpotensi tinggi.

Mazhab

Boleh dikatakan kesemuanya mempunyai pemahaman Mazhab Laju. Mereka lebih cenderung melabur dalam sektor-sektor yang dapat memberi kadar pertumbuhan yang tinggi seperti teknologi, bioteknologi, robotics, ‘artificial intelligence’ dan lain-lain.

Sumber Kewangan

Ramai yang beranggapan modal dan sumber kewangan VC datang daripada pengasasnya. Ini kurang tepat.

VC pun membuat proses ‘fundraising’ juga dengan mencari pelabur-pelabur luar untuk melabur dalam dananya.

Sebagai contoh, saya mahu buka Nadhir Ventures untuk melabur dalam syarikat-syarikat startup. Saya pun pergi berjumpa dengan korporat, OOK atau pelabur kerajaan untuk melabur dalam dana saya.

Dengan ‘track record’ yang saya ada, saya berjaya meyakinkan 3 pelabur yang setuju melabur RM10 juta setiap seorang. Saya pun mulalah melabur dalam syarikat-syarikat startup berpotensi.

Struktur habuan saya adalah “2-20”. Iaitu, 2% daripada nilai dana akan diambil sebagai kos pengurusan dan 20% keuntungan tahunan adalah milik saya (General Partner). 80% pula adalah milik pelabur-pelabur lain (Limited Partner).

Bergantung kepada agreement, sekiranya dana tidak untung, saya tidak berhak mendapat 20% tersebut.

Saiz Pelaburan

Dari RM100,000 hinggalah berbillion.

Peringkat Pelaburan

Fasa awal hingga la pra-IPO.

Faktor Pelaburan Utama

Pengasas adalah salah satu faktor yang diambilkira oleh VC. Namun begitu, mereka lebih lihat kepada nombor-nombor syarikat sebagai faktor utama pelaburan.

Sekiranya nombor-nombor syarikat seperti pertumbuhan jualan, penguasaan pasaran serta margin meningkat dengan kadar yang tinggi – lebih minat mereka untuk melabur.

Apa Mereka Mahu?

VC tidak mahu pegang pelaburan lama-lama. Maksima pun mungkin 5-7 tahun. Mereka mahu labur, beri kebebasan kepada pengasas dan pihak pengurusan untuk menjana pertumbuhan mendadak dan ‘exit’ atau jual pegangan mereka kepada entiti lain pada masa hadapan.

Peratus Saham Yang Diminta

Dalam lingkungan 10% hingga 40%.

 

Equity Crowdfunding

equitycrowdfunding

Antara platform Equity Crowdfunding yang terkenal: pitchIN, Crowdo, Ata Plus

Pengenalan

Equity Crowdfunding adalah sebuah platform yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang menghubungkan pelabur-pelabur awam (sesiapa sahaja) dengan syarikat-syarikat berpotensi tinggi.

Prosesnya begini: syarikat startup perlu berhubung dengan pihak platform Equity Crowdfunding dan mohon dengan menghantar dokumen-dokumen yang berkenaan.

Selepas itu akan ada proses ‘roadshow’ dan ‘pitching’ untuk menarik minat pelabur-pelabur awam.

Syarikat akan tentukan berapa dana yang dimahukan, sebagai contoh: RM1 juta. Apabila tempoh pelaburan dibuka, pelabur akan mula melabur dan setelah capai ‘target’ – pelaburan akan ditutup dan dianggap selesai.

Setelah itu, syarikat tersebut perlulah membayar yuran (peratusan daripada dana yang dikumpulkan) kepada platform Equity Crowdfunding tersebut.

Mazhab

Lebih cenderung kepada Mazhab Laju.

Sumber Kewangan

Daripada kewangan orang awam.

Saiz Pelaburan

RM100k hinggalah berjuta.

Peringkat Pelaburan

Peringkat awal.

Faktor Pelaburan Utama

Nombor-nombor syarikat dan juga faktor pengasas.

Apa Mereka Mahu?

Dividen dan Keuntungan Modal.

Peratus Saham Yang Diminta

Dari 10% sehingga 49%.

  

Pelabur Korporat

Corporate

Antara Pelabur Korporat yang terkenal: Tune Labs, Media Prima

Pengenalan

Pelabur Korporat sentiasa mencari peluang untuk membuat ‘Mergers & Acquisitions’ (M&A) untuk mengembangkan perniagaannya. Ideanya mudah: sekiranya korporat tersebut tidak boleh mencapai pertumbuhan yang tinggi secara organik – mereka boleh beli syarikat lain untuk capai pertumbuhan tersebut.

Contoh M&A yang tuan/puan mungkin tahu adalah Media Prima yang membeli Rev Asia dengan harga RM105 juta.

Pelabur Korporat juga mungkin akan membeli atau melabur dalam syarikat yang lebih kecil sekiranya mereka tidak ada kepakaran, mahu menambahkan kepelbagaian produk atau mahu menceburi pasaran yang berbeza. 

Mazhab

Pelabur korporat lebih cenderung kepada Mazhab Tradisional. Mereka lebih minat membeli syarikat-syarikat yang sudah ada cashflow yang mantap dan keuntungan yang stabil. Namun begitu, ada juga pelabur korporat yang akan membeli syarikat yang rugi – sekiranya dengan teknologi atau aset yang dibeli itu boleh meningkatkan keuntungan syarikat induk secara keseluruhan.

Sumber Kewangan

Daripada cashflow syarikat atau pinjaman daripada bank. 

Saiz Pelaburan

Bergantung kepada saiz pelabur korporat tersebut – daripada RM500,00 hinggalah berbillion.

Peringkat Pelaburan

Lebih cenderung kepada syarikat matang yang sudah ada cashflow. Namun begitu, syarikat awal juga sudah mendapat perhatian pelabur korporat sejak kebelakangan ini. Sebagai contoh – IKEA membeli sebuah syarikat startup di US, TaskRabbit.

Faktor Pelaburan Utama

Pelabur korporat akan melihat kepada sinergi yang dapat dijana dengan pembelian atau pelaburan tersebut. Dalam pemikiran mereka: 1 + 1 mesti jadi 3. Maknanya, syarikat yang dibeli dapat menjana pertumbuhan yang lebih tinggi apabila bergerak bawah ‘payung’ syarikat induk.

Apa Mereka Mahu?

Dengan membeli atau melabur dalam syarikat startup, mereka mahu lihat peningkatan daripada segi keuntungan dan pertumbuhan syarikat induk.

Peratus Saham Yang Diminta

Daripada 20% hinggalah 100%.

 

Pelabur Kerajaan

Parlimen

Antara pelabur korporat yang terkenal: Teraju, Cradle, Malaysia Debt Ventures (MDV)

Pengenalan

Pelabur Kerajaan sama juga seperti pelabur-pelabur yang lain daripada strategi pelaburan tetapi mereka mempunyai faktor-faktor tambahan untuk melabur – sama ada syarikat yang dilabur dapat menjana impak kepada masyarakat dan negara.

Mereka boleh melabur wang untuk pegangan saham, memberi pinjamaan ‘soft loan’ atau memberi geran kepada syarikat startup – bergantung kepapada strategi pelabur kerajaan tersebut.

Mazhab

Pelabur Kerajaan boleh bermazhab Laju atau Tradisional – bergantung kepada strategi mereka. Namun begitu, faktor impak kepada negara lebih memainkan peranan. 

Sumber Kewangan

Daripada kewangan Kerajaan. 

Saiz Pelaburan

RM100k hinggalah berjuta.

Peringkat Pelaburan

Peringkat awal sehingga pra-IPO.

Faktor Pelaburan Utama

Nombor-nombor kewangan syarikat serta sama ada ianya membawa impak kepada masyarakat & negara.

Apa Mereka Mahu?

Kejayaan syarikat-syarikat Malaysia di mata dunia. 

Peratus Saham Yang Diminta

Dari 10% sehingga 49%.

Akhir kata

Harap artikel di atas dapat memberi pencerahan kepada jenis-jenis pelabur yang ada di Malaysia. Ada yang saya tertinggal? Tulis komen di bawah!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *