2 Cara Beri Saham Kepada Pelabur Baru

[Ulang siar kerana saya masih dapat soalan sebegini]

Saya selalu ditanya oleh founder baru: “Nadhir, bagaimana ya cara nak beri saham syarikat kita kepada pelabur baru?”

Saya akan tanya kembali, duit pelabur itu mahu digunakan untuk apa?

Adakah:

a) Untuk kegunaan syarikat – membeli barang mentah, tambah pekerja, marketing, tambah premis, etc;

b) Untuk masuk dalam poket pemegang saham yang sedia ada.

.

Sekiranya jawapan adalah (a) maka tuan/puan perlu terbitkan saham baru dalam syarikat. (“Primary”)

Sekiranya jawapan adalah (b) maka tuan/puan boleh jual saham secara langsung kepada pelabur baru. (“Secondary”)

Mari kita lihat contoh untuk dua senario di atas:

.

Senario #1

Azman & Lim adalah pemegang saham dalam syarikat Alim Beriman Trading Sdn Bhd.

Mereka mempunyai 100 saham atau 50% syer setiap seorang.

Mereka mahu kembangkan perniagaan ke Indonesia dan mahu suntikan modal baru.

Seorang angel investor bernama Pak Firman berminat untuk menjadi pelabur syarikat ini.

Selepas proses rundingan, Azman & Lim bersetuju untuk menerbitkan saham baru kepada Pak Firman sebanyak 20% syer daripada keseluruhan saham.

Kiraannya:

Azman: 100 saham (40%)
Lim: 100 saham (40%)
Pak Firman: 50 saham (20%)

Total saham: 250 saham

Dalam senario ini, syarikat terbitkan 50 saham baru. Azman & Lim – daripada 50% “dilute” ke 40%.

Sekiranya satu saham bernilai RM10,000 makanya syarikat mempunyai RM500,000 tunai untuk mengembangkan operasi ke Indonesia.

.

Senario #2

Menggunakan contoh yang sama, sekiranya Azman mempunyai hasrat untuk kahwin dua dan mahukan duit tunai, beliau boleh menjual saham dalam syarikat beliau kepada Pak Firman.

Azman boleh menjual 20% syer (40 saham) kepada Pak Firman dan sekiranya saham itu bernilai RM10,000 setiap satu, maka RM400,000 masuk ke dalam poket Azman.

Senang hati isteri baru Azman.

Senarai pemegang saham dan syer yang dipegang adalah seperti berikut:

Azman: 60 saham (30%)
Lim: 100 saham (50%)
Pak Firman: 40 saham (20%)

Total saham: 200 saham

Dalam senario ini syarikat tidak dapat apa2 suntikan modal. Hanya dapat pemegang saham baru sahaja yang mungkin strategik untuk bisnes mereka.

Harap bermanfaat!